Tak jadi kahwin orang lain, isteri syukur bertemu jodoh dengan pengantin hero selamatkan OKU


  • Tular
  • Rabu, 16 Mac 2022

NORHASLINDA (kiri) akui pilihannya untuk memilih Mohd Anuar sebagai suaminya sebagai tindakan tepat. — Facebook

"MULANYA kami berurusan nak beli kambing untuk kenduri kahwin saya dengan orang lain, tapi tak jadi... tak sangka pula berkahwin dengan dia."

Itu yang dikongsikan Norhaslinda Mohamod, 38, selepas suaminya, Mohd Anuar Ahmad menjadi tular di media sosial kerana menyelamatkan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) ketika mereka sedang mengambil gambar perkahwinan mereka di tebing sungai Anak Bukit, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Mengimbas kembali detik perkenalan mereka, Norhaslinda memberitahu, dia langsung tidak mengetahui yang suaminya mempunyai keberanian untuk terjun ke sungai menyelamatkan kanak-kanak OKU itu kerana suaminya seorang yang sangat pemalu.

"Sebenarnya kenal dengan suami dah lama sebab rumah kami sebelah saja. Tapi tak pernah cakap depan-depan sebab dia seorang yang pemalu. Tapi saya kenal dia dan tahulah yang dia memang boleh buat macam-macam.

"Nak dijadikan cerita, sepatutnya saya berkahwin dengan orang lain dan ada membeli kambing dengan dia untuk kenduri kahwin saya. Tetapi akhirnya tak jadi berkahwin dan ketika itu ibu dia mesej dengan saya.

"Bermula daripada situ yang kami mula berkenalan dan dua bulan selepas itu terus melangsungkan perkahwinan," katanya kepada Majoriti.

Menurut Norhaslinda, bergelar ibu tunggal sebelum ini, dia ada berkenalan dengan lelaki lain cuma pilihannya untuk bersama suaminya kini dianggap keputusan yang tepat.

"Sebelum ini memang ada kenal dengan orang lain tetapi saya buat keputusan untuk pilih dia.

''Memang keputusan yang tepat sebab walaupun dia pendiam, tapi dia betul-betul penyayang dan tak sangka dia sanggup bergadai nyawa untuk selamatkan orang lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram