Kehilangan Eric Chang, polis percaya mayat dibuang di Muara Tebas


  • 112
  • Ahad, 13 Mac 2022

POLIS memperhebatkan usaha pencarian Eric di sekitar kawasan Muara Tebas. — Sarawak Edition

KEHILANGAN seorang budak empat tahun, Eric Chang Wei Jie sejak seminggu lalu memasuki episod baharu selepas polis percaya kanak-kanak malang itu disyaki dibunuh oleh penjaganya.

Pihak polis percaya mayat kanak-kanak berkenaan kemudian dibuang ke sungai di Muara Tebas, Kuching, Sarawak oleh penjaga itu dan suaminya.

Sejak pukul 2 petang Ahad, Polis Daerah Kuching menjalankan penyiasatan di lokasi tersebut bersama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Maritim Malaysia Sarawak, Polis Marin Wilayah 5 Sarawak di sekitar kawasan Muara Tebas.

Sebelum ini, polis menahan empat orang suspek dengan tangkapan pertama membabitkan kedua-dua ibu bapa Eric sebelum menangkap dua lagi suspek iaitu penjaga dan suaminya.

Eric dilaporkan hilang dari rumahnya di sebuah taman perumahan di Jalan Daya, Bintawa di Kuching, pada 7 Mac lalu, kira-kira pukul 7.42 petang.

IBU Eric, Dynasty Chang Ka Hui sebelum ini melaporkan kehilangan anaknya itu. — Facebook

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, individu yang ditahan itu dalam lingkungan usia 24 hingga 49 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau, kesemua suspek mempunyai 17 rekod jenayah, iaitu 14 kesalahan jenayah dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersial.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu.

“Kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan soal siasat lanjut,” katanya.

Polis sebelum ini menubuhkan satu pasukan khas bagi memperluaskan usaha mencari kanak-kanak yang dilaporkan hilang itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram