Suspek tergamak bakar wanita sampai rentung dalam bengkel sekolah di Bandar Tun Razak


  • 112
  • Ahad, 13 Mac 2022

KES disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

POLIS menahan seorang lelaki dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat seorang wanita yang rentung dalam kebakaran di bengkel kemahiran hidup sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Izham Jaafar berkata, suspek berusia 30-an ditahan kira-kira jam 6 petang di lokasi kebakaran bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan pada jam 6.18 petang melaporkan kejadian kebakaran tersebut.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Balai Polis Salak Selatan pergi ke tempat kejadian dan mendapati kebakaran dipadamkan dan satu mayat dalam keadaan rentung dijumpai oleh pihak bomba.

"Mayat diserahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Muhammad Izham, mangsa yang rentung dikenal pasti sebagai seorang wanita yang bekerja sebagai penyelia kedai buku di sekolah berkenaan.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaaan Malaysia untuk bedah siasat.

"Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Pada Sabtu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menemui satu mayat rentung dalam kejadian kebakaran di bengkel sebuah sekolah menengah berkenaan.

Jurucakap JBPM berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut dan mayat wanita itu ditemukan selepas kerja-kerja memadam kebakaran selesai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram