KELAB peminat rasmi pelakon, Nida Tangmo Patcharaveerapong berkumpul di ibu pejabat Polis Diraja Thailand (RTP) pada Sabtu untuk menuntut keadilan ke atas kematian aktres itu.
Tangmo maut selepas terjatuh dari bot laju ke Sungai Chao Phraya di Nonthaburi pada 24 Februari 2022.
Kelab peminat itu baru ditubuhkan menerusi aplikasi permesejan Line pada Jumaat.
Mereka memaklumkan, lebih 2,000 ahlinya bakal berhimpun dengan berpakaian hitam dan putih untuk menuntut keadilan buat aktres itu pada 10 pagi, Sabtu di ibu pejabat polis di Jalan Rama I. I
Pergerakan itu bermula selepas orang ramai semakin ragu-ragu mengenai siasatan polis terhadap kematiannya yang berlaku pada waktu malam.
Tidak hanya itu, lima rakan yang bersama Tangmo pada malam kematiannya dikatakan memberi kenyataan bercanggah atau mencurigakan tentang kejadian yang berlaku.
Polis kemudian memberitahu akhbar bahawa bukti dan saksi menunjukkan kecuaian menyebabkan kematian dan bukannya pembunuhan.
Hal itu mencetuskan kebimbangan mengenai ketelusan dalam siasatan kes tersebut.
Keterangan samar yang diberikan oleh lima rakan Tangmo iaitu Tanupat Por Lerttaweewit, Phaiboon Robert Trikanjananun, Idsarin Gatick Juthasuksawat, Wisapat Pasir Manomairat dan Nitas Job Kiratisoothisathorn masih tidak jelas.
Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Pol Lt Jen Jirapat Phumijit, berkata, kes itu masih belum selesai kerana polis sedang menunggu keputusan bedah siasat daripada Universiti Mahidol dan Institut Perubatan Forensik.
Beliau menyeru sesiapa yang mempunyai bukti supaya menghubungi penyiasat dan polis telah menyoal kira-kira 80 saksi setakat ini.
"Pada masa ini, polis telah mendakwa pemilik bot yang dinaiki Tangmo, Encik Tanupat dan pemandu, Encik Phaiboon kerana kecuaian yang membawa kepada kematian aktres itu," katanya.
Sementara itu, menurut sumber, upacara memperingati Tagmo diadakan di Liberty Church Bangkok di daerah Saphan Sung, Bangkok Thailand sejak Jumaat.
Ia dijadualkan berlangsung sehingga Sabtu dari 6.30 petang hingga 8.30 malam, dengan had pengunjung seramai 1,000 orang pada satu masa.
Acara itu turut disiarkan melalui akaun Facebook Church of Joy dan saluran YouTube CJConnect. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram