Lelaki ditahan dipercayai tikam adik kembar kerana dadah di Banting


  • 112
  • Sabtu, 12 Mac 2022

MANGSA meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting.

POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati pasangan kembarnya di rumah sewa mereka di Kampung Seri Cheeding, Banting, Kuala Langat, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas dia dibawa majikan si mati ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada pukul 10.45 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian pada Jumaat, polis menerima panggilan telefon daripada Hospital Banting yang memaklumkan telah menerima seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.58 petang, yang dibawa oleh majikannya ke hospital berkenaan.

Katanya, si mati yang bekerja sebagai pekerja kebun sayur pada mulanya telah menghubungi majikannya bagi meminta bantuan untuk ke hospital, setelah dipercayai ditikam oleh kembarnya dalam satu pergaduhan.

"Majikannya itu kemudiannya telah ke rumah mangsa dan mendapati pekerjanya itu terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran dengan rumahnya, dengan kesan darah pada baju, dan lelaki berkenaan masih bernyawa ketika itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Ridhwan berkata, pekerja kebun yang mengalami kecederaan pada bahagian dada akibat tikaman senjata tajam itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting.

Beliau berkata, siasatan mendapati pada pukul 4.30 petang Jumaat, pasangan kembar itu bergaduh, dipercayai selepas si adik tidak mahu berkongsi dadah dipercayai syabu dengan abangnya, lalu dia dipercayai ditikam oleh abangnya itu dalam pergaduhan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram