Dakwaan pusat undi PRN Johor ditutup awal tidak benar — Wan Junaidi


  • Primer
  • Ahad, 13 Mac 2022

TANGKAP layar video tular seorang wanita yang mendakwa pusat undi PRN Johor ditutup lebih awal daripada sepatutnya. — Facebook

DAKWAAN terdapat pusat pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu yang ditutup awal adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa waktu penutupan sesetengah pusat pengundian diwartakan pada waktu tertentu, mengikut pelbagai faktor termasuk jumlah pengundi.

"Semalam (Sabtu), terdapat aduan seorang wanita yang bertanyakan kenapa pusat mengundinya ditutup pada pukul 2 petang. Sebenarnya, (saya dimaklumkan) pusat pengundian itu dibuka hanya untuk 170 pengundi dan telah digazet ditutup pada pukul 2 petang.

"Jadi ia mesti ditutup pada waktu itu, jika masih dibuka selepas pukul 2, tidak boleh pakai (undi tidak boleh diambil kira). Ini undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, keputusan menetapkan waktu pembukaan pusat mengundi Pilihan Raya Negeri tidak terletak pada individu atau pihak polis.

"Ini bukan keputusan individu atau polis, perkara itu sudah digazet dan sudah dimaklumkan kepada semua pihak. Sepatutnya pengundi perlu mengetahui pusat mengundi mereka tutup pukul berapa supaya tidak lambat,” katanya.

Pada Sabtu, tular video di media sosial yang menunjukkan seorang wanita yang marah di hadapan sebuah pusat pengundian kerana tidak dapat masuk untuk mengundi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pusat pengundian, Wan Junaidi, PRN Johor