Golongan belia korban tertinggi nahas jalan raya


  • Primer
  • Ahad, 13 Mac 2022

HAMPIR 50 peratus daripada 14,308 kes kematian yang direkodkan dalam tempoh dua tahun bermula 2019. — The Star

GOLONGAN belia mencatatkan kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi, iatu hampir 50 peratus daripada 14,308 kes kematian yang direkodkan dalam tempoh dua tahun bermula 2019.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nahas jalan raya juga antara penyebab utama kematian di negara ini, dengan purata 4,769 nyawa terkorban setiap tahun dalam tempoh yang sama dan jumlah kematian belia yang tinggi menjadikan ia cabaran utama kepada pihak penguat kuasa bagi membendung perkara itu.

"Golongan belia mempunyai masa depan yang cerah dan diperlukan negara, tetapi mereka ini yang paling banyak terlibat (kemalangan jalan raya). Lesen memandu seharusnya membantu kita mempermudahkan pergerakan khususnya dalam mencari rezeki. Kita berharap mereka yang memperolehnya dapat berdisiplin semasa menunggang motosikal," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang yang menyaksikan 404 penduduk Orang Asli sekitar daerah ini dipilih untuk mengikuti program itu bagi mendapatkan lesen memandu motosikal pada harga paling minimum.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Bagi membendung kadar kematian akibat kemalangan jalan raya, Ismail Sabri berkata, JPJ akan memperbanyakkan program advokasi dan keterlibatan dengan pihak tertentu bagi memberi kesedaran keselamatan jalan raya, selari dengan hasrat kerajaan mahu mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Sementara itu, mengulas mengenai BLKM, Ismail Sabri berkata, ia dikhususkan kepada mereka memerlukan seperti golongan B40 dan masyarakat Orang Asli yang mempunyai kesulitan bagi mengikuti kelas di institusi latihan memandu bagi mendapatkan lesen memandu Kelas B2.

"Program ini bertujuan memudahkan kerana kita tahu ada beberapa prosedur yang perlu dilalui bagi mendapatkan lesen. Walau bagaimanapun, ia masih menerapkan latihan dan kursus yang perlu dilalui supaya mereka menjadi penunggang motosikal yang mematuhi undang-undang," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram