Provokasi murahan 'bubar Parlimen' biadab tak kena tempat


  • Politik
  • Ahad, 13 Mac 2022

TANGKAP layar rakaman video tular mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen susulan kemenangan BN dalam PRN Johor, pada Sabtu.

SIKAP terjerit-jerit melakukan provokasi picisan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk segera membubarkan Parlimen susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) menguasai Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu, dilihat tidak kena tempat.

Ketua Pemuda Umno Damansara, Amin Shukor berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia mencerminkan sikap gelojoh dan ketidaksabaran menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Sepanjang di PRN Johor, saya melihat sendiri bagaimana suasana perubahan politik, suasana beralihnya gelombang untuk memilih dan pelbagai luahan perasaan kecewa pelbagai segmen pengundi setelah tersalah pilih pada PRU14 yang lalu. Akhirnya semalam dizahirkan atas kertas undi segala kekecewaan mereka.

"Namun demikian, ada insiden yang bagi saya jelas provokasi biadab dan kurang cerdik kepada Perdana Menteri dilakukan oleh segelintir pihak yang berkepentingan telah mencacatkan keharmonian dan ketertiban majlis.

"Yang lebih kurang cantik lagi, golongan ini telah merosakkan imej Bangsa Johor yang sentiasa halus dalam menyantuni dan meraikan tetamu.

"Saya amat faham soal feel good factor dan usaha kesesuaian mendesak proses PRU15 yang disebut-sebut sebelum ini," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Namun demikian, Amin berkata, dalam suasana rakyat Johor baru sahaja memilih dan belum lagi teruji khidmat-khidmat bakti wakil rakyat yang dipilih, telah dipaparkan kegelojohan sikap dan ketidaksabaran menuju PRU15 yang tidak kena pada tempatnya.

"Yang amat menyedihkan saya, sikap terjerit-jerit melakukan provokasi picisan terhadap Perdana Menteri ini dengan penuh bangga dirakam dan diviralkan.

"Konon-kononnya ada mileage yang boleh dibanggakan kerana berjaya mendesak PM untuk segera dibubarkan Parlimen.

"Saya akui yang semasa ini kita memiliki feel good factor dan dalam keadaan sekarang dan perlu bersikap opportunist untuk merangka pelan perlaksanaan masa depan, tetapi bukanlah dengan paparan sedemikian kerana akhirnya nama buruk dan meluat orang lain pula yang kita undang," katanya,

Menurut Amin lagi, sepatutnya mereka bertindak dengan lebih cerdik kerana ada ruang dan medan yang lebih sesuai untuk dibincang dan diperhalusi perkara tersebut.

Katanya, yang lebih merisaukan, BN akan dilihat agak angkuh, gelojoh, sombong dan kurang cerdik memberikan gambaran persepsi menambat hati pengundi.

"Jangan kerana ingin meraih 'kredit' dan mileage peribadi daripada kepimpinan sehingga ada yang sanggup memaparkan kerendahan hati budi parti Umno BN kepada masyarakat.

"Kemenangan di PRN Johor bukan kerja satu orang sahaja. Ia kerja keras berpasukan dan setiap orang itu memiliki keupayaan saling melengkapi kepada kekurangan yang ada dalam pasukan.

"Perlu diingat setiap dari kudrat yang hadir dengan niat menyumbang bakti demi kemenangan BN itu selayaknya dihargai tanpa prejudis.

"Ini bukan sikap bangsa Johor, ini bukan jati diri bangsa Johor yang sentiasa tertib dan lembut yang sentiasa menghormati sesiapa sahaja yang berbudi.

"Namun dek kerana kedangkalan segelintir kumpulan kononnya atas modus operandi tertentu telah merosakkan reputasi ketertiban bangsa Johor," katanya.

Amin berkata, ada ruang dan medan yang sesuai untuk diperbincangkan hal pembubaran Parlimen dan ia perlu dibuat dengan penuh rasional kerana ada asas yang diperhalusi.

"Dan yang lebih penting jangan sampai dilihat gelojoh dan membangkitkan rasa menyampah pengundi dan rakyat. Pada saya, BN perlu ambil iktibar kesan PRU14 dan tambah baik setiap tindak-tanduk kita dalam mendekati rakyat dan pengundi, khususnya pengundi muda," katanya.

Beliau berkata, harus diingat bahawa kemenangan pada Sabtu bukan hanya kerana BN kuat dan kembali hebat, tetapi kerana banyak lagi faktor-faktor lain yang sedikit berpihak kepada parti.

"Jangan leka, jangan sombong dan jangan riak dalam bertindak, rakyat dan pengundi sentiasa menilai dan memerhati dari semasa ke semasa.

"Kita raikan yang muda, kita hargai jasa yang lama. Ketertiban kita adalah cerminan kepada penentu kestabilan perintis pelapis pemimpin masa depan kita bersama.

"Ini bukan soal mempertahankan pemimpin semata, tetapi ini soal prinsip mempertahan nilai keharmonian dan nama baik parti yang jangan sesekali dianggap murah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram