PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu walaupun mencatat rekod buruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut Ahmad Faizal, satu kajian menyeluruh akan dilakukan untuk mengenal pasti faktor-faktor prestasi Bersatu yang hanya memenangi dua daripada 33 kerusi yang ditandingi, selain faktor peratusan rendah pengundi keluar mengundi.
"Saya dan seluruh ahli parti di semua peringkat tetap menyokong dan mendukung kepimpinan beliau,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Muhyiddin sebelum ini berkata, beliau sedia melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sekiranya dikehendaki kepimpinan dan ahlinya, berikutan kekalahan gabungan itu dalam PRN Johor.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihan raya PN yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan yang telah bertungkus lumus sepanjang kempen PRN Johor.
"Semangat kebersamaan ini mesti kita teruskan demi memperkasakan perjuangan parti kita. Kepada Allah, kami berserah,” katanya.
Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat besar lebih dua pertiga majoriti pada PRN Johor kali ini apabila berjaya memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
DAP dan Amanah yang bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, PN memenangi tiga kerusi manakala Muda serta PKR masing-masing berjaya meraih satu kerusi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram