Anwar Ibrahim kecewa tak ramai keluar mengundi PRN Johor


  • Politik
  • Ahad, 13 Mac 2022

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Bernama

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim khuatir dengan peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menyifatkan perkara itu boleh menggugat proses demokrasi negara.

Beliau bagaimanapun akur dengan keputusan rakyat Johor yang memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan negeri itu.

"Tahniah kepada Barisan Nasional atas kejayaan membentuk kerajaan negeri di Johor. PKR akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor.

"Kita amat khuatir dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan serta boleh mengugat proses demokrasi," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Ahad.

BN memperoleh mandat besar lebih dua pertiga majoriti pada PRN Johor kali ini apabila berjaya memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

PKR, yang bertanding menggunakan logo sendiri pula hanya memenangi satu kerusi.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, seramai 1,426,573 atau 54.92 peratus orang keluar mengundi pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi penghargaan kepada jentera PKR serta Pakatan Harapan (PH) yang berhempas pulas menggerakkan kempen sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri ini.

Jelasnya, keputusan PRN ini juga merupakan satu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani pilihanraya umum kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram