APMM buat pelayaran ihsan bawa bayi di Pulau Redang ke hospital


  • 112
  • Khamis, 10 Mac 2022

APMM sedang membawa bayi untuk menerima rawatan di hospital dari Pulau Redang. — Facebook

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melaksanakan satu pelayaran ihsan membawa seorang bayi lelaki berusia 11 bulan dari Pulau Redang bagi mendapatkan rawatan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, Pahang pada 7 malam meminta khidmat bantuan pemindahan perubatan (medevac).

"Bayi tersebut, Muhammad Zaim Aiman dilaporkan mengalami simptom najis berdarah dan perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. Maritim Negeri Terengganu segera menggerakkan Kapal Maritim (KM) NUSA yang beroperasi di kawasan sekitar untuk memastikan pesakit menerima rawatan segera.

"Operasi pemindahan perubatan selesai sebaik kapal tiba di Jeti Maritim Negeri Terengganu pada pukul 3 pagi dan bayi serta ibu bapanya terus dikejarkan ke HSNZ," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar segera melaporkan sebarang kecemasan di laut ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu melalui talian 09-622 3657. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram