Satu SOP dengan 10 keperluan akan dikuatkuasakan bersama sembilan garis panduan


  • Primer
  • Khamis, 10 Mac 2022

10 keperluan yang ditetapkan dalam SOP peralihan negara ke fasa endemik. — The Star

KETIKA Malaysia beralih ke fasa endemik, kerajaan akan mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 daripada 181 yang sedia ada kepada hanya satu SOP sahaja.

Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengetuai Kuartet Menteri berkata, SOP itu mengandungi 10 keperluan yang akan terus dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

katanya, 10 syarat itu termasuk keperluan memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Secara asasnya, menerusi fasa peralihan ke endemik, 181 SOP yang telah dikuatkuasakan di bawah Pelan Pemulihan Negara dijadikan satu.

“SOP yang satu ini akan dikuatkuasakan di bawah Akta 342 mulai 1 April.

“Kesemua 10 keperluan itu telah diamalkan oleh orang ramai sepanjang wabak ini. Saya percaya semua orang boleh mematuhinya,” katanya pada Rabu.

Hishammuddin berkata, selain SOP itu terdapat juga sembilan garis panduan untuk dipatuhi orang ramai.

Jelasnya, garis panduan itu tidak akan dikuatkuasakan, tetapi orang ramai digalakkan untuk mematuhinya bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Setiap garis panduan akan menerangkan cara menjalankan penilaian risiko Covid-19 dan cara mengamalkan SOP dengan betul untuk aktiviti yang berbeza,” katanya.

Garis panduan tersebut meliputi aktiviti berkaitan pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; runcit, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup; ruang kerja terbuka; majis, acara hiburan dan pelancongan; hotel dan penginapan tetamu; acara keagamaan, perkahwinan dan pengebumian; dan sukan, rekreasi dan riadah.

Beliau berkata SOP dan sembilan garis panduan fasa peralihan ke endimik akan diterbitkan di laman web yang boleh diakses dua minggu sebelum 1 April. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram