Harimau belang muncul dua kali di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands


  • Tular
  • Sabtu, 12 Feb 2022

TANGKAP layar video kehadiran harimau belang di kawasan Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands baru-baru ini.

RAKAMAN seekor harimau belang dipercayai sedang berkeliaran di kawasan semak berbukit di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands baru-baru ini tular di media sosial.

Video berdurasi 23 saat itu diulang siar akaun TikTok Viral Perak.

Rakaman tersebut memperlihatkan seekor harimau sedang merayau di kawasan berbukit yang dipenuhi semak samun.

Ini merupakan video kedua kehadiran harimau belang di kawasan Cameron Highlands dalam tempoh beberapa hari.

Sebelum ini, tular sebuah video harimau belang dipercayai di kawasan berhampiran yang didakwa berkemungkinan tersesat ekoran mengejar haiwan buruan.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengesahkan kehadiran harimau belang di Kampung Orang Asli, di Kampung Sungai Ubi, Cameron Highlands.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin dilaporkan berkata, pihaknya menjumpai kesan tapak kaki harimau belang pada jarak satu kilometer (km) dari perkampungan tersebut.

"Pemantauan di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya sedang dilakukan oleh kakitangan Perhilitan Pahang dan Perak," katanya menambah pemantauan ini dilakukan bagi memastikan harimau belang itu kembali ke habitatnya dan tidak mengancam penduduk. Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram