TMJ taja tukar rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil


  • Podium
  • Khamis, 10 Mac 2022

STADIUM Nasional Bukit Jalil bakal mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa.

PEMILIK kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, akan menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai hadiah kepada gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers berkata, rumput yang bakal digunakan ialah jenis Zeon Zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri, Johor.

"Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia, bagi memastikan Stadium Nasional mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa.

"Bagaimanapun, saya ingin meminta pihak berkuasa stadium untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi dan semua penggunaan bukan sukan hanya dilakukan jikalau langkah-langkah yang sesuai telah dilakukan bagi memastikan padang tersebut tidak rosak,” titahnya.

Pada Mac tahun lepas, dilaporkan bahawa kerja-kerja menggantikan rumput jenis ‘cowgrass’ dengan kos RM10 juta dijangka siap Jun ini.

Kerja-kerja berkenaan turut merangkumi penyelenggaraan padang, sistem pengudaraan, sistem saliran, pencahayaan buatan serta latihan kepada penyelia rumput, dalam usaha memastikan stadium memiliki padang bertaraf antarabangsa.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional bertemu pasukan ranking ke-134 dunia Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti aksi menentang Bahrain (89) pada 11 Jun dan Bangladesh (186) pada 14 Jun.

Sementara itu, menerusi kemas kini terbaharu di Facebook Johor Southern Tigers, JDT berkata, Tunku Ismail telahpun menandatangani cek untuk kerja pertukaran padang itu.

"Pemeriksaan di Stadium Nasional akan dilakukan pada 19 Mac 2022, sebelum meneruskan persiapan terakhir dengan Perbadanan Stadium Malaysia.

"Syarikat padang dan kru penyelenggaraan padang Stadium Sultan Ibrahim sudah bersedia untuk memulakan kerja,” menurut hantaran tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram