
TUJUH strategi yang disenaraikan oleh KPM ini sekurang kurangnya dapat menyelesaikan isu beg sekolah berat tetapi dalam jangka masa pendek sahaja, kata pakar pendidikan.
Pensyarah Pusat Kajian dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menyambut baik keputusan KPM dan mengucapkan tahniah kepada Menteri Kanan Pendidikan kerana bersedia mendengar pandangan rakyat, sekali gus mengambil tindakan susulan untuk isu ini.
"Tujuh strategi ini adalah hasil cadangan dari berbagai pihak diyakini akan dapat mengurangkan isu beg sekolah berat khususnya strategi penyediaan lokar (untuk sekolah dua sesi) dan membenarkan buku disimpan di dalam laci meja (sekolah satu sesi) untuk anak-anak tahap satu.
"Begitu juga dengan strategi penggunaan buku teks digital, mengehadkan bilangan dan jumlah muka buku latihan serta penyelarasan pakaian sekolah untuk kelas di bawah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya.
Menurut Anuar, keputusan KPM untuk mengurangkan bilangan waktu mata pelajaran dalam jadual harian serta mengehadkan hanya tiga hingga empat sahaja mata pelajaran setiap hari juga adalah keputusan yang baik dan tepat.
Secara signifikan katanya, bilangan buku teks dan buku latihan yang dibawa oleh murid-murid setiap hari dapat dikurangkan.
"Bagaimanapun, KPM masih perlu melakukan usaha dan tindakan selanjutnya untuk mengurangkan isu beg sekolah berat ini untuk jangka panjang dengan melakukan semakan kurikulum.
"Ini kerana faktor utama yang menyumbang kepada beg sekolah berat ini adalah bilangan mata pelajaran yang masih banyak dan silibus setiap mata pelajaran yang juga padat," jelasnya.
Namun tambah Anuar, keputusan yang diambil KPM ini menunjukkan suara rakyat khususnya ibu bapa telah diambil perhatian sewajarnya.
Pada Ahad, KPM dalam satu kenyataan berkata bahawa kerajaan akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa mulai tahun ini akan dilaksanakan sebagai pendekatan menangani isu beg berat murid.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, perkara itu melibatkan dua fasa, dengan fasa pertama murid tahap satu iaitu tahun satu, tahun dua dan tahun tiga yang beroperasi secara dua sesi dan akan membabitkan 10,662 kelas serta 323,186 murid dengan anggaran peruntukan RM37.3 juta.
Katanya bagi fasa kedua pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid tahap dua iaitu Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam yang beroperasi secara dua sesi dengan pelaksanaan dijangka pada 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram