POLIS akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kebakaran yang memusnahkan 52 kenderaan di kawasan parkir sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di Kuala Lumpur, awal pagi Jumaat termasuk elemen khianat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sudah menahan dua orang suspek setakat pagi Sabtu.
"Ada tangkapan melibatkan dua suspek yang kedua-dua adalah lelaki warga tempatan. Suspek berumur 31 dan 39 tahun, masing-masing bekerja sebagai penolak sayur di pasar borong Kuala Lumpur dan tukang sapu," katanya kepada Majoriti.
Beliau turut mengesahkan satu rakaman tular di aplikasi TikTok berhubung tangkapan salah seorang daripada suspek kes tersebut.
Menurutnya, laporan kejadian diterima pada pukul 4.21 pagi dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.56 pagi.
KEADAAN kebakaran yang musnah dalam kejadian kebakaran di PPR Intan Baiduri pada Jumaat. — Ihsan polis
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati kebakaran memusnahkan 48 motosikal serta empat kereta itu dipercayai bermula daripada sebuah motosikal sebelum merebak ke kawasan tempat parkir motosikal berbumbung.
"Anggaran kerugian keseluruhan kebakaran tersebut dianggarkan RM300,000. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta tampil memberikan keterangan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Baldev Singh atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram