Rakan baik Tangmo Nida bidas Gatick, tuduh putar belit fakta — 'Kebenaran akan membebaskan anda'


  • Benua
  • Sabtu, 05 Mac 2022

SURATTANAWEE (kiri) percaya fakta-fakta yang menyelubungi tragedi kematian Tangmo Nida telah diputarbelitkan. — Agensi

PENYIASATAN kes kematian pelakon Tangmo Nida atau Nida Patcharaveerapong memasuki episod baharu selepas salah seorang rakan karibnya tampil membuat kenyataan membidas pengurus mendiang bernama Idsarin 'Gatick' Juthasuksawat.

Saksi terbaharu itu, Surattanawee 'Bow TK' Suviporn, yang juga bekas penyanyi kumpulan pop Triumphs Kingdom menuduh Gatick memutarbelitkan cerita berhubung kematian Tangmo.

Gatick ialah pengurus Tangmo dan merupakan salah seorang daripada lima rakannya di dalam bot laju terbabit apabila mendiang terjatuh dan hilang di dalam Sungai Chao Phraya.

Ditemani suaminya dan seorang peguam, Surattanawee berkata demikian ketika memberikan keterangan kepada penyiasat polis pada malam Khamis.

Surattanawee kemudian bercakap kepada pemberita mengenai pertemuannya dengan Gatick, di Kelab Bot NBC iaitu lokasi di mana bot laju itu disimpan di daerah Muang, wilayah Nonthaburi, seperti yang dilihat pada rakaman kamera keselamatan pada 24 Februari lalu.

Surattanawee berkata, dia baru tampil memberi kenyataan kerana ingin menunggu Gatick membuat kenyataan terlebih dahulu. Dia mendakwa apa yang dikatakan pengurus Tangmo itu tidak sepadan dengan apa yang telah diperkatakan kepadanya.

Dia percaya fakta-fakta yang menyelubungi tragedi itu telah diputarbelitkan.

Menurutnya, dia menemani Gatick ke balai polis untuk memberikan kenyataan sebelum memandu pengurus Tangmo itu ke rumahnya.

"Saya berada di dalam kereta bersama Gatick selama kira-kira satu jam. Saya bagaimanapun tidak akan mendedahkan butiran perbualan kami," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Suara lelaki misteri

Surattanawee berkata, dia menjadi marah selepas mendengar apa yang dikatakan pengurus Tangmo itu mengenai kejadian berkenaan.

Gatick kemudian menghubunginya melalui telefon dan memohon maaf kerana menimbulkan masalah. Surattanawee kemudian membalasnya dengan mengatakan, "Kebenaran akan membebaskan anda."

Pada masa sama, Surattanawee juga menjelaskan hubungannya dengan individu bernama 'Benz'.

Benz ialah Darinrat Meenavanich, penyanyi dan isteri kepada Tanupat 'Por' Lerttaweewit, iaitu pemilik bot laju terbabit. Surattanawee berkata, mereka adalah sepupu.

Ayah Benz ialah abang kepada ibunya, kata Surattanawee. Ibu bapa Benz berpisah dan ibunya kemudian berkahwin dengan seorang pegawai polis.

Selain itu, laporan Thethaiger menyebut satu petunjuk baharu ditemui bagi merungkai kematian Tangmo.

Petunjuk itu ialah video terakhir Tangmo yang dirakam Gatick. Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu memperlihatkan Tangmo sedang memegang gelas minuman sambil menyanyikan lagu dan mengusap rambutnya.

Meskipun video itu diiringi dengan bunyi muzik latar, namun netizen dapat mendengar suara lelaki misteri di sebalik rakaman berkenaan. Suara itu seakan-akan menjerit meminta seseorang membawa mangsa ke bahagian belakang bot sebanyak dua kali.

"Bawa kawan awak datang ke sini! Bawa kawan awak datang ke sini," kata seorang lelaki yang tidak dapat dipastikan identitinya itu.

Setakat ini, laporan Bangkok Post menyebut polis telah menyoal siasat lapan lagi saksi termasuk Surattanawee berhubung kematian akstres Thailand itu.

Hanya dua orang di dalam bot laju itu telah didakwa setakat ini. Mereka ialah Tanupat dan Phaiboon yang didakwa kerana mengendalikan bot laju tanpa lesen dan kecuaian hingga membawa kepada kematian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram