NASIB rakyat terus dihimpit dengan kesusahan dari harga barang mentah yang makin mahal sehingga ke harga rumah yang semakin tidak masuk akal jika dibanding dengan kenaikan gaji di Malaysia.
Media melaporkan, harga rumah di Malaysia secara puratanya meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun dan faktor itulah menjadi beban rakyat di negara ini tidak mampu memiliki rumah sendiri.
TANGKAP layar luahan Jeff mengenai harga rumah yang semakin mahal.
Pengguna Facebook, Jeff meluahkan rasa sedihnya terhadap peningkatan harga rumah di Malaysia dan dia berkata amat mustahil untuk individu bergaji RM1500 memiliki rumah sendiri.
"Tadi sempat tanya harga rumah dan sewa. Bayangkan gaji RM1500 untuk miliki rumah. Sedih. Macam mustahil sudah. Rumah flat atau apartment harga mencanak naik. Melambung tinggi.
"Rata-rata harga untuk flat atau apartment biasa RM150,000 ke RM200,000. Dengan gaji RM1500, tidak boleh bayangkan macam mana nak beli," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Selain itu, dia juga meluahkan harga pembinaan di negara juga kian hari kian menaik harganya dan seakan terma "rumah mampu milik" itu tidak wujud sudah untuk dimiliki oleh rakyat B40.
Katanya, jika dahulu gaji RM1500 ke RM 2000 cukup untuk memiliki rumah berharga sekitar RM100,000 namun sekarang hanya mampu bermimpi ekoran harga bahan binaan yang semakin menaik.
"Harga pembinaan sekarang melantun-lantun naik dua kali ganda dalan beberapa bulan ini. Besi sudah jadi emas. Simen sudah jadi mutiara.
"Rumah mampu milik macam sudah tiada. Hanya mampu pandang. Sedangkan dengan gaji RM1500 ke RM2000 hanya mampu untuk rumah sekitar RM100,000 maksimum. Dengan perkembangan bahan binaan yang meletop naik, lupakan harga tu," ujarnya.
Malah, lelaki itu juga meluahkan harga rumah sewa pun semakin mahal dan baginya kesemua harga dari rumah sewa hingga harga pembelian rumah, seolah-olah tiada kawalan dari pihak berkaitan.
"Sewa jangan cerita. Rumah flat pun dah RM800 ke RM1000 sekarang Ini. Apatah lagi teres. Rata-rata dalam RM1500. Harga sewa dan harga rumah seolah-olah tiada kawalan lagi. Harga bahan binaan pun macam tidak serius untuk dikawal.
"Sedangkan gaji RM3000 pun bank susah nak luluskan, ini pula RM1500 ke RM2000," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram