Minyak masak habis, penduduk terpaksa guna marjerin mahal


  • Benua
  • Khamis, 17 Feb 2022

BEKALAN minyak masak di kebanyakan kedai runcit di Lampung habis hingga menyukarkan penduduk. — Agensi

PENDUDUK di daerah Lampung di Indonesia terpaksa menggunakan marjerin meskipun harganya lebih mahal untuk kegunaan menggoreng makanan sebagai pengganti kepada minyak masak yang kehabisan stok.

Seorang suri rumah tangga di Sidomulyo, Lampung Selatan, Ningsih, 43, mengakui terpaksa berbuat demikian kerana bekalan minyak masak di kedai runcit seperti Indomaret dan Alfamart, didapati habis.

"Oleh sebab minyak masak sukar ditemui, saya terpaksa menggunakan marjerin untuk menggoreng tempe dan makanan lain. Sudah lima hari guna marjerin," katanya kepada CNN Indonesia.com pada Rabu.

Ningsih memberitahu, bukan dirinya sahaja yang menjadikan marjerin sebagai alternatif untuk menggoreng makanan, bahkan kebanyakan warga Sidomulyo juga berbuat demikian.

"Ketika ini ramai orang susah nak cari dan beli minyak masak sebab sangat susah didapati," katanya.

Kesukaran mendapatkan minyak masak di Lampung juga menjejaskan golongan peniaga kecil yang mengusahakan gerai makanan.

Peniaga kecil berisiko gulung tikar

Seorang peniaga nasi pecel lele di Kota Bandarlampung, Eko, 43, berkata, dia memerlukan tiga hingga empat liter minyak masak sehari.

"Kekurangan minyak masak menyukarkan saya berniaga. Memandangkan minyak masak semakin terhad, pembeliannya kini terhad kepada liter.

"Untuk menggantikan minyak masak, saya terpaksa menggunakan marjerin walaupun harganya sedikit lebih mahal," katanya.

Seorang lagi peniaga, Pak Ndut berkata, kebelakangan ini dia hanya mendapat empat pek kecil minyak masak 180 mililiter dengan harga 5,000 rupiah (RM1.46) per pek.

Kesukaran mendapatkan minyak masak itu menyebabkan perniagaan yang diceburinya selama enam tahun berisiko gulung tikar.

"Memandangkan minyak masak ini susah didapati, jualan juga tidak seperti biasa kerana semakin sedikit.

"Saya tidak tahu berapa lama keadaan sukar ini akan berlarutan, mungkin penjual makanan bergoreng berisiko muflis," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram