Smtrack bincang lanjut pembangunan semula Kg Bharu


  • Bizz
  • Isnin, 28 Feb 2022

SELAIN daripada potensi pulangan pendapatan kepada Smtrack, kumpulan itu juga berpeluang untuk menyumbang kepada masyarakat Kg. Bharu melalui projek pembangunan semula ini. — The Star

PENYEDIA penyelesaian pengenalan frekuensi radio, Smtrack Bhd sedang berada dalam peringkat bagi perbincangan lanjut dengan pihak-pihak berkaitan seperti Jiankun International Bhd, untuk menjadi perunding pengurusan projek (PMC) pembangunan semula Kampung Bharu yang bernilai RM1.2 bilion.

Jiankun International Bhd telah memeterai perjanjian usaha sama dengan Menara Rezeki Sdn Bhd dan Menara Rezeki Properties Sdn Bhd pada 26 Januari lepas untuk melaksanakan cadangan pembangunan semula Flat PKNS Jalan Tun Razak di Kampung Bharu.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Smtrack, Azmi Osman berkata, syarikat itu sedang membida peranan PMC disebabkan lokasi strategik, saiz dan skop kerja-kerja dalam projek tersebut.

"Memandangkan kepakaran dan pengalaman pengurusan projek yang cekap yang kami ada, ini akan menjadi usaha sama menang-menang untuk kedua-dua syarikat," katanya.

Projek pembangunan semula yang dicadangkan itu termasuk memindahkan penduduk sedia ada ke sebuah pangsapuri baharu dengan pakej pampasan yang komprehensif.

Flat PKNS itu akan dirobohkan apabila pelan penempatan semula berjaya dilaksanakan.

Ini akan diikuti dengan kerja-kerja pembangunan semula dan pembinaan.

"Ini adalah peluang yang baik bagi memanfaatkan kepakaran serta kedudukan kewangan yang sihat melalui usaha-usaha yang bernilai tinggi seperti ini untuk meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan," katanya sambil menambah bahawa projek ini menjanjikan prospek yang amat baik.

Selain daripada potensi pulangan pendapatan kepada SMTrack, kumpulan itu juga berpeluang untuk menyumbang kepada masyarakat melalui projek pembangunan semula ini.

"Walaupun perbincangan seterusnya dengan pihak-pihak yang berkaitan adalah amat cerah, belum ada lagi sebarang keputusan. Pengumuman terperinci akan dibuat dalam masa terdekat sesuai dengan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia sebaik sahaja syarikat telah mendapat maklumat lanjut," tambah Azmi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram