Polis rampas dadah RM10.3 juta di 125 Felda, 222 PPRT


  • 112
  • Isnin, 28 Feb 2022

AYOB Khan (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian barang rampasan Op Tapis Khas Siri 2 ketika sidang media pada Isnin. — Bernama

POLIS merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM10.3 juta dalam operasi, Op Tapis Khas Siri 2 di 125 kawasan penempatan rancangan Felda dan 222 kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi selama tiga hari mulai Rabu lepas itu, polis turut menahan 3,668 orang termasuk 116 rakyat asing berusia antara 14 hingga 60 tahun.

"Seorang penuntut institut pengajian tinggi awam selain enam pelajar sekolah menengah antara yang ditahan kerana memiliki bekalan dadah dan positif ujian saringan awal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berkata, antara dadah yang dirampas dalam operasi itu adalah heroin seberat 5.79 kilogram (kg); syabu (279.16 kg); ketamin (29.8kg); ganja (1.03kg); pil erimin 5 (1.5kg); pil yaba (1.68kg); ekstasi (545.70 gram); serbuk ekstasi (71.20 gram); daun ketum (455.5kg); pil psikotropik (204.24gm); air ketum 269.05 liter; satu batang pokok ganja; dan 14.55 liter ubat batuk.

Menurutnya, mereka yang ditahan dalam serbuan pada 23 hingga 25 Februari itu terdiri daripada 3,512 lelaki dan 156 wanita.

"Tangkapan itu turut melibatkan 572 pengedar dadah; 1,850 penagih dan 185 orang yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,Akta Racun 1952 serta ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Ayob Khan berkata, dalam serbuan di Jerantut, Pahang polis merampas sepucuk pistol tiruan, manakala selaras senapang berserta 17 butir peluru dirampas dalam serbuan di Selama, Perak dan selaras senapang patah dan senapang angin serta 18 butir peluru pula dirampas di Lawas, Sarawak.

Selain itu, JSJN turut menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta melibatkan wang tunai lebih RM159,000; barangan kemas bernilai lebih RM18,000; 22 kereta bernilai lebih RM553,000; 52 motosikal bernilai lebih RM276,000, selain sebuah topi keledar jenama Shoei bernilai RM700.

Sementara itu, mengulas mengenai penemuan kes berkaitan dadah di kawasan-kawasan Felda dan PPRT menerusi operasi khas itu, Ayob Khan berkata, ia bukanlah sesuatu yang baharu dan tidak melibatkan semua kawasan berkenaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, pistol, Op Tapis Khas, dadah, Felda, PPRT