Armpunk Sindicate bawa mesej kesihatan mental dalam Seterumu


  • Hiburan
  • Sabtu, 26 Feb 2022

SETERU Mu adalah sebuah lagu utama yang bakal dimuatkan di dalam EP pertama Armpunk Sindicate.

MASALAH kesihatan mental merupakan isu yang semakin menular dalam kalangan masyarakat yang mana menjadi mesej dalam buah tangan baharu band muzik punk rock, Armpunk Sindicate.

Memuatkan mesej tersebut dalam lagu, Seteru Mu, karya itu merupakan ciptaan komposer Shamsul Cairel Abdul Karim bernuansakan muzik punk rock dan memiliki tempo pantas.

Menurut vokalisnya, Zaid Nazim Zainal Abidin atau Zed, lagu tersebut menguji vokalnya kerana dia perlu membawakan lagu tersebut dengan persembahan vokal yang perlahan sebelum ia melejit naik apabila muziknya semakin meningkat dinamik.

Seteru Mu adalah sebuah lagu utama yang bakal dimuatkan di dalam EP pertama Armpunk Sindicate yang bakal berada di pasaran pada 26 Mac 2022. Muzik videonya bakal disiapkan sebelum EP ini berada di pasaran.

EP tersebut mengandungi enam lagu yang mana tiga daripadanya adalah lagu lama mereka iaitu iaitu 'Dadah Durjana', 'Satu Bendera' dan 'Noisy Punk', manakala tiga lagu baharu pula terdiri daripada Selamat Malam, Gula-Gula serta Seteru Mu.

Sementara itu, pemain dram Armpunk Sindicate, Muhammad Elby Danial Mohd Suhaili memberitahu, walaupun Seteru Mu ini bukan karya ciptaan mereka, namun Elby menjelaskan, mereka turut terlibat sepenuhnya dalam susunan muzik lagu tersebut.

“Kami akui menghasilkan lagu sendiri lebih memberi kepuasan tetapi membawakan lagu daripada komposer luar juga mempunyai kepuasan sendiri terutama sekali apabila dapat membuat susunan muziknya mengikut acuan, feel dan cara kami sendiri.

“Malah, kami juga banyak belajar perkara baharu tentang kerja-kerja rakaman daripada Pak Long (gelaran buat Shamsul Cairel) yang berpengalaman luas dalam bidang ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram