SEORANG lelaki warga tempatan dilaporkan mati mengejut dalam tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor Bharu pada Isnin.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad yang berkata, lelaki yang merupakan Orang Kena Tahan (OKT) berusia 49 tahun itu sebelum ini ditahan dalam satu Operasi Pemutihan.
"Dia dihantar ke Hospital Sultan Ismail pada 16 Februari kerana mengadu sesak nafas, sebelum didapati tidak sedarkan diri di lokap pada pukul 7 pagi semalam.
"Pihak koroner telah hadir dan mengesahkan kematian OKT dan mayatnya dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
"OKT dalam masa sama disahkan positif Covid-19, namun punca kematian masih belum diketahui selain bergantung pada analisa laporan dan ujian makmal patologi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Azri, OKT tersebut disiasat di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sedang menunggu sebutan semula kesnya pada 10 April depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Pada 3 Februari lalu, seorang OKT yang sedang direman untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu ditemui tidak sedarkan diri di lokap Balai Polis Pandamaran.
Pada Januari, seorang OKT di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, disahkan meninggal dunia dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram