Langgar mati pesara di LPT2, suspek ada rekod jenayah larikan kereta curi milik guru


  • 112
  • Selasa, 22 Feb 2022

SEORANG pesara mati dalam kejadian langgar lari di LPT2 selepas dilanggar dua suspek (gambar kecil) dalam kejadian pada Isnin. — Facebook

IDENTITI pemandu dan penumpang Perodua Myvi yang melanggar seorang pesara serta melarikan kenderaan seorang pemuda di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh di Kemaman, Terengganu pada Isnin sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek merupakan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an serta berasal dari Kuantan, Pahang.

Menurutnya, salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

“Polis sedang berusaha mengesan kedua-dua suspek dan kita minta mereka beri kerjasama dengan tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya pada Selasa.

Hanyan berkata, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina milik seorang pemuda yang dicuri suspek juga berjaya ditemui di Kuantan kira-kira jam 5.30 petang Isnin.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Myvi dinaiki suspek merupakan kenderaan sewa milik seorang guru yang disewakan kepada seorang wanita lain.

“Kita sedang jejaki wanita ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun,” katanya.

Terdahulu, polis sedang mengesan pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 269, LPT2 berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa yang merupakan seorang pesara, Zolkafli Ahmad, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kedua-dua suspek yang kemudiannya tersadai di tepi lebuh raya berikutan Perodua Myvi dinaiki mengalami kerosakan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, berjaya dikesan seorang pemuda.

Bagaimanapun, kedua-kedua suspek bertindak melarikan kenderaan Grand Livina milik pemuda berkenaan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram