Guru cadang hapuskan pinjaman buku teks


  • Massa
  • Jumaat, 28 Jan 2022

ISU beg berat masih menjadi bahan bualan dalam kalangan ibu bapa sehingga kini. — Facebook

RUNGUTAN beg berat bagi murid sekolah rendah seakan tidak berpenghujung. Saban tahun terutamanya ketika sesi pembukaan sekolah bermula, pasti ada yang bersuara mengenai masalah tersebut.

Tahun ini juga menyaksikan beberapa kali isu beg sekolah berat menjadi bahan bualan. Seperti biasa, perdebatan mengenai isu itu dalam kalangan ibu bapa masih tidak bertemu penyelesaian.

Terbaharu, seorang guru sekolah rendah, Mohd Fadli Salleh berkata, antara idea yang boleh dilakukan untuk menghapuskan masalah beg berat dalam kalangan murid sekolah adalah dengan menghentikan pinjaman buku teks.

"Henti bagi pinjaman buku teks. Sebaliknya, buku teks adalah milik sekolah dan letak sahaja di dalam kelas. Bila nak guna baru ambil macam yang dibuat di sekolah swasta.

"Ada sekolah letak lokar dan almari untuk murid tinggal buku dalam kelas, tapi tidak berjaya sebab bukan semua orang mampu bayar sewa sampai lebih RM100 setahun.

"Almari pula tiada murid nak letak buku kerana hilang atau dirosakkan murid lain sampaikan pemilik buku itu yang perlu menggantinya," katanya.

Disebabkan kerana pinjaman buku teks kata Mohd Fadli yang membuatkan lokar buku khas di sekolah untuk murid tidak dapat menjadi penyelesai masalah yang terbaik.

Ditanya sama ada pengurangan subjek akan memberi kelegaan kepada masalah beg berat, Mohd Fadli menyatakan perkara itu tidak boleh dilakukan.

Katanya, perkara itu tidak mudah untuk dilakukan kerana akan melibatkan pelupusan buku teks dan para guru pula perlu menjalani kursus untuk subjek yang dikekalkan kerana subjek mereka sebelum ini sudah tiada.

"Perlu sangat banyak proses yang rumit dan tidak akan dapat dilaksanakan dalam masa setahun dua.

"Hapuskan pemilikan buku teks dan letak buku teks di sekolah boleh dilaksanakan sekarang juga. Sangat mudah dan praktikal," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram