Apa sudah jadi dengan status lembu import Thailand?


  • Massa
  • Isnin, 28 Feb 2022

KELEWATAN import lembu akan menjejaskan bekalan dan menyebabkan kenaikan harga daging. — Gambar hiasan/ The Star

FEBRUARI hampir melabuhkan tirai, namun masih tiada khabar berhubung pengimportan semula lembu dari Thailand ke Malaysia.

Para penternak dan pembekal daging menyatakan kebimbangan jika perkara itu tidak disegerakan ia akan ia akan menganggu dari segi faktor harga dan kekurangan sumber ternakan.

Selain itu, mereka juga bimbang kelewatan membawa masuk lembu import akan mempengaruhi harga daging tempatan, apatah lagi musim perayaan yang semakin dekat.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut ketibaan Ramadan pada bulan April sebelum meraikan Aidilfitri pada Mei.

Kebiasaannya, pada waktu perayaan ini, permintaan daging lembu akan meningkat, lebih-lebih lagi pada musim perayaan Aidiladha yang ditetapkan pada awal Julai tahun ini.

Perkara ini sudah dibangkitkan pengurus Pembangunan Perniagaan Naim Beef, Muhamad Raziz Rahim yang sebelum ini berkata, sekiranya pengimportan lembu dari Thailand diluluskan lewat, proses jual beli dan mengimport lembu akan mengambil masa selama sebulan bergantung kepada kecekapan pihak veterinar membuat kerja.

“Jika lambat lagi nak lulus (import lembu Thailand) lagi susahlah kami nak jual daging, malah stok daging semasa juga akan berkurang.

“Keadaan itu akan menjadikan harga daging naik terutama apabila menjelang musim raya kelak," katanya kepada Majoriti pada awal Februari lalu.

Tambahnya lagi, dia berharap agar import lembu dari Thailand dapat disegerakan agar ia tidak menjejaskan cycle business (kitaran perniagaan) syarikatnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Noorlizan Mohd Noor memberitahu Majoriti bahawa pengimportan semula lembu dari Thailand ke Malaysia dijangka bermula Februari ini.

Dr Noolizan berkata, pada dua minggu pertama Januari, pihaknya sedang memuktamadkan sijil veterinar yang akan dikeluarkan Thailand, susulan penambahan syarat-syarat import yang dipersetujui bersama pihak berkuasa dari kedua-dua negara.

Persetujuan itu dilakukan susulan beberapa laporan mengenai ternakan dalam stesen kuarantin yang mempunyai simptom-simptom penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD) pada April tahun lalu.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan berhubung kebenaran mengimport lembu Thailand walaupun baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Malaysia dan Thailand bersetuju untuk berbincang di peringkat agensi bagi membuka semula sempadan antara kedua-dua negara dalam tempoh terdekat.

Usaha Majoriti untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu ini masih belum mendapat maklum balas daripada pihak berwajib. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram