PENYERANG sensasi Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah sudah tiga musim menabur bakti di kelab Pantai Timur itu dan mempelajari banyak perkara terutamanya dalam memenangi hati peminat.
Sebagai antara penjaring utama kelab, bebanan untuk menghadiahkan gol buat penyokong amat tinggi apatah lagi TFC menjadi pencabar utama Liga Super dan Piala Malaysia.
Musim lepas, Mintah membantu TFC menduduki tempat keempat liga dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.
Mengulas tentang pengetahuannya tentang Piala Malaysia, pemain berusia 26 tahun itu mengakui dia pada asalnya tidak ambil 'port' tentang kejohanan itu.
"(Sehinggalah) ada sesetengah penyokong mesej saya dan beritahu bahawa Piala Malaysia merupakan kejohanan yang besar berbanding kejohanan lain.
"Jadi mereka nak saya tolong bantu pasukan menang. Mereka beritahu saya sendiri bagaimana istimewanya piala ini kepada mereka.
"Dan saya pastinya inginkan lakukan yang terbaik untuk memberi piala ini kepada penyokong.
"Mula-mula saya tiada gambaran sangat pun pasal Piala Malaysia ini sebab saya ingat ia hanyalah sebuah piala sahaja.
"Tetapi penyokong menjelaskan kepada saya ini adalah piala yang bermakna dan kalau menang, ia akan menjadi pencapaian terbaik untuk mana-mana kelab sekali pun.
"Jadi saya hanya mahu buat yang terbaik untuk pasukan dan memberikan trofi ini kepada penyokong," katanya dalam satu wawancara secara maya.
MINTAH amat dikenali sebagai pemain yang suka bergurau bersama rakan sepasukan.
Tambahan lagi, pemain kelahiran Ghana itu berkata, Liga Malaysia sebenarnya lebih menarik perhatian dan lebih mencabar.
"Saya memang sangat suka Liga Malaysia sebab ia berlainan daripada di Filipina.
"Suasana, penyokong, macam mana mereka tengok perlawanan, sokong pasukan, dan kalau mereka suka kamu, merekan akan suka kamu. Tapi kalau mereka dah mula buli kamu, mereka boleh buli kamu juga.
"Kadang-kadang penyokong ini tidak hanya suka dekat pemain sebab mereka beraksi dengan baik di padang, tetapi bagaimana pemain bersikap merendah diri dan melayan penyokong dengan baik.
"Macam mana pemain menegur penyokong semula apabila mereka panggil nama pemain. Apabila penyokong bergurau, macam mana pemain ini layan mereka balik," katanya.
Mintah juga mendedahkan dia digelar sebagai 'kambing' oleh rakan sepasukan.
Katanya, gelaran 'kambing' digunakan oleh rakan-rakan lain yang selalu suka bergurau antara satu sama lain.
"Satu hari ketika berlatih, mereka mula panggila saya 'kambing' dan saya panggil mereka 'lembu'. Tiba-tiba semuanya melekat pula.
"Kami gunakan perkataan itu untuk bergurau saja. Apabila mereka menyebut kambing, mereka beritahu maksudnya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram