PENTERNAK lembu tempatan menggesa kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar supaya menyegerakan pengimportan semula lembu dari Thailand.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Naim Beef, Muhamad Raziz Rahim berkata, jika berlaku kelewatan pengimportan lembu dari Thailand itu, ia akan menganggu dari segi faktor harga dan kekurangan sumber ternakan.
"Faktor harga lembu tempatan akan meningkat, sebagai contoh sebelum ini karkas kita boleh dapat pada harga RM28 untuk satu kilogram (kg), namun sekarang harga karkas mencecah RM35 per kg.
"Tiada masalah jika sebelum hujung Februari. Kalau lebih masalah sebab kuarantin lembu sebelum ini 14 hari namun sekarang jadi 28 hari. Jadi kalau lembu masuk awal Mac, April baru boleh keluar untuk jualan, untuk cycle business (kitaran perniagaan) jadi tidak sihat," katanya kepada Majoriti.
Raziz berkata, jika lembu diimport bermula pada Mac, maka proses jual beli dan mengimport lembu akan mengambil masa selama sebulan bergantung kepada kecekapan pihak veterinar membuat kerja.
"Jadi April baru bawa masuk semua lembu itu. Bulan Mei nanti raya baru boleh nak jual, jadi susah juga," katanya.
Selain itu, Raziz juga menambah, jika pengimportan lembu dari Thailand diumumkan lewat daripada Februari, perkara itu akan menyaksikan kenaikan harga daging yang mendadak.
"Kami sebagai pengimport akan tetap bersabar dan sumber mengatakan bahawa pintu sempadan untuk mengimport ternakan lembu dari Thailand akan dibuka sebelum hujung Februari.
"Apapun saya hormati keputusan itu dan jika keputusan sebaliknya kita bakal menyaksikan kenaikan harga daging yang mendadak ekoran kekurangan bekalan di musim perayaan tidak lama lagi," dakwanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Noorlizan Mohd Noor dilaporkan berkata, pengimportan semula lembu dari Thailand ke Malaysia dijangka bermula Februari ini.
Dr Noolizan berkata, pada dua minggu pertama Januari, pihaknya sedang memuktamadkan sijil veterinar yang akan dikeluarkan Thailand, susulan penambahan syarat-syarat import yang dipersetujui bersama pihak berkuasa dari kedua-dua negara.
Persetujuan itu dilakukan susulan beberapa laporan mengenai ternakan dalam stesen kuarantin yang mempunyai simptom-simptom penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD) pada April tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram