Muda umum calon bertanding di Machap, Parit Raja dan Larkin


  • Politik
  • Khamis, 24 Feb 2022

SYED Saddiq (tengah) bersama dua calon baharu Muda, R Sangaran (kanan) dan Rasid Abu Bakar (kiri) pada Majlis Pengumuman Calon Muda pada Khamis.  — Bernama

TIMBALAN Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, R. Sangaran pada Khamis diumum sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan perkara itu pada satu majlis di Taman Eco Cascadia di Johor Bahru, Johor.

Beliau turut mengumumkan dua lagi calon iaitu Setiausaha Jawatankuasa Muda Johor, Fikri Musa dan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar masing-masing bagi DUN Parit Raja dan DUN Larkin, sekali gus menjadikan tujuh calon parti itu telah diumum bertanding dalam PRN Johor.

Sangaran berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Multimedia dan merupakan rakan kongsi di sebuah firma guaman, manakala Fikri memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil dari Universiti Tun Hussein Onn dan Rasid pula berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Syed Saddiq dalam ucapannya berkata, ketiga-tiga calon merupakan golongan teknokrat, peguam dan eksekutif muda yang bersemangat untuk berkhidmat kepada rakyat Johor.

"Saya berharap anak Johor dapat memberi peluang kepada mereka ini. Kita ingin menunjukkan bahawa Muda betul-betul mengangkat calon yang latar belakangnya pelbagai dan berbilang bangsa," katanya.

Sebelum ini, empat calon parti itu diumum bertanding dalam PRN Johor iaitu Pengerusi Muda Johor, Azrol Rahani di DUN Bukit Permai, manakala Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz di DUN Puteri Wangsa.

Selain itu, dua lagi pengasas Muda yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif parti iaitu Nurafiqah M. Zulkifli dan Lim Wei Jiet pula masing-masing diumum bertanding di DUN Bukit Kepong dan DUN Tenang.

PRN Johor merupakan penampilan pertama Muda dalam pilihan raya selepas menerima surat rasmi pendaftaran pada 28 Disember tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac dengan penamaan calon pada Sabtu ini, manakala 8 Mac ditetapkan untuk pengundian awal. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN Johor, syed saddiq, umum, calon, MUDA