PRN Johor: Muda umum tiga lagi calon


  • Politik
  • Isnin, 21 Feb 2022

PENGUMUMAN calon MUDA itu dibuat Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu sidang media di Labis pada Selasa. — Astro AWANI

PENGERUSI Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor Azrol Rahani diumum sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Permai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dua lagi pengasas Muda yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif parti berkenaan iaitu Nurafiqah M. Zulkifli dan Lim Wei Jiet pula masing-masing diumum bertanding di Dun Bukit Kepong dan Dun Tenang.

Pengumuman Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung perkara itu pada satu majlis di Labis, Segamat sekali gus menjadikan empat calon parti berkenaan setakat ini telah diumum bertanding dalam PRN Johor.

Azrol, 41, dari Masai Johor Bahru, merupakan seorang usahawan manakala Lim, 31, dari Muar, seorang peguam dan Nurafiqah, 31, anak kelahiran Muar, adalah Pegawai Khas Ahli Parlimen Muar.

Syed Saddiq dalam ucapannya berkata, ketiga-tiga calon merupakan golongan profesional yang mempunyai kualiti kerja sangat baik serta bersemangat memberikan perkhidmatan kepada rakyat Johor.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz diumum bertanding di kerusi Dun Puteri Wangsa.

PRN Johor merupakan penampilan pertama Muda dalam pilihan raya selepas menerima surat rasmi pendaftaran pada 28 Disember tahun lepas.

Amanah dan DAP dilapor memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di enam kerusi pada PRN Johor iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai manakala PKR menawarkan tiga kerusi kepada parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac dengan penamaan calon pada 26 Februari manakala 8 Mac ditetapkan untuk pengundian awal. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram