Wanita jadi taruhan Muda di PRN Johor


  • Politik
  • Sabtu, 12 Feb 2022

MUDA ingin menjadikan parti itu sebagai masa depan negara, ia tidak cukup sekadar mencalonkan rakyat yang berbilang bangsa dan agama tetapi juga memastikan perwakilan wanita yang agak besar.

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mencalonkan ramai wanita serta individu yang mewakili berbilang bangsa dan agama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, apabila Muda ingin menjadikan parti (sebagai) masa depan negara, ia tidak cukup sekadar mencalonkan rakyat yang berbilang bangsa dan agama tetapi juga memastikan perwakilan wanita yang agak besar.

Menyentuh nama calon dan kawasan yang ditandingi, beliau berkata, perkara itu masih dibincang di peringkat Muda dan akan memaklumkan kepada media seawal minggu depan.

"Perkara itu (sama ada beliau bertanding) akan dibincangkan dalam Muda, tetapi saya ingin memastikan bahawa orang melihat ramai lagi pemimpin lain dalam Muda yang wajar diberikan perhatian secukupnya kerana mereka ini jauh lebih baik daripada saya... kita akan maklumkan (calon) satu per satu,” katanya.

Mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Puteri Wangsa yang akan ditandingi Muda, Syed Saddiq, berkata partinya akan mempertahan kawasan itu sepertimana yang telah dipersetujui.

Baru-Baru ini, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis dalam hantaran di laman Facebook berkata, beliau berlapang dada menyerahkan kerusi itu kepada Amanah dan tindakan parti tersebut melepaskannya kepada Muda merupakan suatu pengkhianatan kepercayaan yang diberikan oleh akar umbi.

Pada Jumaat, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Syed Saddiq dalam kenyataan bersama memaklumkan Muda akan bertanding di kerusi Dun Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa serta Bukit Permai.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

syed saddiq, MUDA, PRN johor, calon, wanita, pkr,