Muda minta 'sapot' tapi kena hentam


  • Berita
  • Sabtu, 19 Feb 2022

POSTER hebahan oleh parti Muda yang menggunakan perkataan 'sapot'. — Facebook

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor belum lagi membuka tirainya tetapi langkah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sudah dilihat tempang selepas mendapat kritikan di media sosial.

Kritikan itu berpunca daripada poster hebahan yang dimuat naik oleh Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman iaitu Pelancaran Sapot Muda pada Jumaat.

Ramai tidak berpuas hati dengan penggunaan perkataan 'sapot' yang digunakan Muda iaitu merujuk kepada perkataan support dalam bahasa Inggeris atau sokongan dalam bahasa Melayu.

Carian Majoriti di Pusat Rujukan Persuratan Melayu juga tidak menemukan perkataan 'sapot' sama ada sudah didaftarkan sebagai sebahagian daripada bahasa Melayu atau pun tidak.

Menerusi aplikasi terjemahan bahasa, 'sapot' dikesan sebagai perkataan yang digunakan di bahagian selatan Filipina bermaksud sarang labah-labah.

Jadi di Malaysia, 'sapot' hanyalah perkataan yang tidak memberi sebarang maksud dan akan menimbulkan kekeliruan kepada generasi muda khususnya jika dibiasakan penggunaannya.

Ramai netizen yang turut mempertikaikan penggunaan ayat 'sapot'.

mudaaa

TANGKAP layar komen netizen yang kurang senang dengan penggunaan perkataan 'sapot'.

"Hai anak Muda, perkataan 'sapot' datang daripada bahasa mana, kata orang Muda berpendidikan," kata Norazly Bin Kurmin.

"Bahasa kebangsaan pun gagal teruk, ada hati nak jadi wakil rakyat budak-budak ini," kata Wang Kapa.

"Bila BBNU nak juga berpolitik, habis bahasa dicemarkan," kata Arm Abdullah II.

"Sapot tu apa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman..bahasa melambangkan bangsa," kata Mohd Fadrul.

Seorang lagi pengguna Facebook bernama Muhammad Iman Al Qadri turut mengimbas kembali perkataan Sureheboh yang pernah digunakan dahulu sebelum ditukar kepada Jom Heboh kerana mencampur adukkan bahasa Melayu dan Inggeris.

"Dulu karnival Sureheboh buat di DangaBay bertukar nama menjadi Jom Heboh kerana campur rojak bahasa Inggeris dan Melayu.

"Ini sudahlah rojak, sengaja salah eja pula tu. Memang tiada jati diri betul la parti Muda ni. Dengan calon-calonnya sekali tak guna," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram