Lebih RM2 juta saman dikeluarkan di Negeri Sembilan


  • 112
  • Isnin, 07 Feb 2022

KESEMUA saman itu dikeluarkan dalam Op Tahun Baharu Cina. — Bernama

SEBANYAK 10,559 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya berjumlah RM2.6 juta dikeluarkan polis menerusi Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina yang dijalankan di beberapa kawasan di negeri ini bermula 28 Januari lepas hingga Ahad.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, memandu laju merupakan kesalahan tertinggi dikesan pihaknya dengan 6,032 saman dikeluarkan diikuti tidak patuh lampu isyarat (284), menggunakan alat komunikasi ketika memandu (118), memotong barisan (133), memotong garisan berkembar (50) dan satu saman kerana memandu di lorong kecemasan.

Beliau berkata, operasi 10 hari itu melibatkan 151 operasi termasuk Op Utama (70 operasi), Op Pelbagai (56), Op Motosikal (lapan) dan tiga Op Mabuk.

"Seramai 156 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 132 orang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Kadar kemalangan maut menunjukkan penurunan dalam Op Selamat kali ini dengan satu kes, berbanding Op Selamat 16/2020 yang merekodkan sembilan kes.

"Jumlah kemalangan secara keseluruhan turut menunjukkan penurunan 30.7 peratus, iaitu 564 kes dalam Op Selamat 17/2022 berbanding 815 kes dalam Op Selamat 16/2020," katanya.

Beliau berkata, selain itu, faktor pemandu mengikut rapat kenderaan lain juga didapati punca utama kemalangan dengan merekodkan 151 kes manakala terdapat kes pemandu tidak perasan kenderaan lain (95 kes), cuai ketika keluar dan masuk simpang jalan (77) dan terbabas sendiri (60).

Mohamad berkata, pihaknya turut mengeluarkan 48 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya antaranya memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan lebuh raya Temiang-Pantai bagi tujuan bergambar dan berkumpul di lorong berkenaan.

"Nak ambil gambar tidak jadi masalah tetapi jangan sampai meletak kenderaan di bahu jalan dan lorong kecemasan sehingga mengganggu kelancaran trafik dan mengundang risiko tinggi berlakunya kemalangan," katanya dengan menambah aktiviti berbasikal dan joging dibenarkan di laluan berkenaan selagi tidak menganggu keselamatan lalu lintas serta tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Beberapa hari lepas, tular menerusi media sosial berkaitan sekumpulan pemandu kereta berkumpul dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan kedua-dua arah di Jalan Temiang-Pantai untuk bergambar di jalan raya berkenaan.

Mengenai kes seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan tangan dan kaki terikat di sebuah rumah di Jalan Cenaga Baru, Kampung Repah, Tampin, pada 27 Januari lepas, beliau berkata ia masih dalam siasatan dan belum ada tangkapan setakat ini.

"Kita masih tunggu laporan forensik dan patologi mengenai punca kematian. Beberapa orang sudah diambil keterangan termasuk isteri, ahli keluarga dan jiran," katanya.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat lelaki berusia 26 tahun pada 3.02 petang terbaring di atas tilam berhampiran pintu bilik dengan keadaan tangan dan kaki terikat selain badan berbalut selimut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram