AKTIVITI perkelahan sekumpulan remaja lelaki berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas ketika mandi di Air Terjun Batu Berangkai yang terletak di perkampungan Orang Asli, Kampar, Perak pada Selasa.
Kedua-dua mangsa berusia 20 tahun itu dikenali sebagai Muhammad Fikri Adam Azmi dan Muhammad Amirul Hafidz Ma'asor.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, seorang daripada mangsa iaitu Muhammad Fikri Adam telah lemas dan dia cuba dibantu oleh mangsa kedua, namun keadaan panik menyebabkan kedua-duanya lemas.
"Dua lagi rakan yang berada di tempat kejadian turut cuba membantu namun gagal dan hanya mampu menarik mangsa pertama yang sudah tidak sedarkan diri keluar dari air.
"Mangsa kedua iaitu Muhammad Amirul Hafidz kemudian tenggelam di dalam air manakala rakan yang lain cuba untuk menyelamatkan mangsa pertama serta meminta tolong dari orang awam dan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa yang tidak tahu berenang serta dua lagi rakan itu berasal dari Selangor dan datang ke Kampar dengan menaiki motosikal untuk bermandi-manda di air terjun tersebut.
Menurutnya, mayat Muhammad Amirul Hafidz dijumpai pada kira-kira pukul 11.15 pagi dan dibawa keluar oleh pihak bomba sebelum kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.34 pagi dan segera mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar.
"Anggota menggunakan peranti pengapungan peribadi (PFD) untuk melakukan operasi pencarian Muhammad Amirul Hafidz dan berjaya menemui mangsa, namun kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram