Lelaki hilang lebih 24 jam ditemukan terapung di Sungai Belat, Kuantan


  • 112
  • Sabtu, 05 Feb 2022

ANGGOTA bomba berusaha menaikkan mayat mangsa yang ditemukan di terapung di Sungai Belat, Kuantan. — Bomba Taman Tas

MAYAT seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental yang dilaporkan hilang sejak Jumaat ditemukan terapung di Sungai Belat berhampiran Kampung Seri Damai, Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Mohd Redzuan Mohamad, 35, didakwa keluar rumah sejak jam 2 petang Jumaat dengan menunggang motosikal.

"Ahli keluarga mangsa mendakwa mereka mula mencarinya apabila mangsa tidak pulang selepas beberapa jam namun hanya menemukan motosikal tersebut di jambatan sekitar 6 petang Jumaat.

"Mayat mangsa ditemukan terapung pada Sabtu kira-kira 200 meter dari lokasi motosikal itu dijumpai sebelum dinaikkan oleh pihak bomba jam 6.20 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat mangsa, yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram