DUNIA sekali lagi digemparkan dengan insiden kanak-kanak terjatuh dalam lubang perigi seperti yang berlaku kepada arwah Rayan Oram, 5, selepas seorang budak lelaki menerima nasib sama dalam kejadian pada Selasa lalu.
Penyelamat kini kesuntukan masa untuk mengeluarkan budak itu yang terjatuh dalam lubang perigi di selatan Afghanistan.
Mangsa dikenali sebagai Haidar dilaporkan terperangkap di dalam lubang tersebut kira-kira empat hari sejak Selasa lalu.
Insiden menimpa kanak-kanak berusia 9 tahun itu berlaku di perkampungan Shokok di wilayah Zabul.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di media sosial, Haidar dilihat menggerakkan tangan dan bahagian atas badannya.
Imej CCTV menunjukkan kedudukan Haidar dalam lubang perigi tersebut. — Agensi
Bapanya yang berada di lokasi kejadian bagi operasi menyelamat dilihat terus berkomunikasi dengan Haidar bagi memastikan keadaan anaknya itu baik-baik sahaja.
"Adakah awak okay di bawah sana? Terus bercakap dengan saya dan jangan menangis, kami sedang berusaha untuk mengeluarkan awak," kedengaran suara ayahnya itu.
Haidar dengan nada sayu membalas, "Okay, saya akan terus bercakap."
Perigi tersebut dikatakan mempunyai kedalaman 24 meter (m) dan Haidar tersangkut pada batu di kedalaman 10 m.
Sementara itu, Setiausaha Timbalan Perdana Menteri Afghanistan, Abdullah Azzam menerusi laman Twitter rasmi beliau memaklumkan bahawa Haidar tersangkut di celah bawah batu dan usaha mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan.
”Persis seperti Rayan dari Maghribi, seorang kanak-kanak telah jatuh ke dalam perigi yang dalam dan tersangkut pada batu di wilayah Zabul Afghanistan.
”Dia setakat ini masih hidup dan batu itu cuba untuk dibelah bagi mengeluarkan mangsa. Mohon doakan,” ciap beliau.
Tambah Abdullah, bantuan oksigen, ambulans serta beberapa keperluan lain telah berada di tempat kejadian.
"Kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan kadang kala meminta bantuan makanan dan minuman,” ujarnya.
Operasi menyelamat itu dilakukan kira-kira dua minggu selepas insiden serupa menimpa Rayan yang jatuh dan terperangkap lebih empat hari dalam perigi sedalam 32 m di Maghribi.
Bagaimanapun, operasi menyelamat itu berakhir tragedi apabila Rayan ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram