Pitam sebab puasa, wanita rempuh kubur di Senawang


  • 112
  • Khamis, 17 Feb 2022

GAMBAR sebuah Perodua Myvi merempuh kawasan perkuburan tular di media sosial.

SEORANG wanita warga emas yang memandu Perodua Myvi dan terbabas dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights dekat Senawang di Seremban, Negeri Sembilan, didakwa mengalami kekurangan gula dalam darah dan pitam kerana berpuasa, sehingga gagal mengawal kenderaan dipandunya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, wanita berusia 60 tahun berkenaan dikatakan baru sahaja selesai menziarahi kubur arwah suaminya di tanah perkuburan itu seorang diri.

"Ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu kereta itu berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah sebelum pitam di dalam kenderaannya.

"Ini menyebabkan kereta itu bergerak ke hadapan secara tidak sengaja lalu melanggar dua tapak perkuburan di lokasi kejadian," kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof.

Mengulas lanjut, Nanda berkata, insiden itu menyebabkan dua tapak perkuburan mengalami kerosakan manakala wanita warga emas terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kereta dipandu itu juga hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan dan pemandu wanita telah pun menerima rawatan yang sewajarnya.

"Anak kepada wanita warga emas itu juga telah hadir membuat laporan dan memaklumkan akan bertanggungjawab untuk membaiki segala kerosakan melibatkan tapak perkuburan terjejas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Nanda Maarof, wanita, pitam, rempuh, kubur, Seremban