TINDAKAN sebuah lori mengubah laluan secara tiba-tiba hampir meragut nyawa tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak di Parit Buntar, Perak.
Kejadian itu sempat dirakamkan seorang pemandu menerusi kamera papan pemuka dan insiden berkenaan dipercayai berlaku pada pagi Selasa.
Video berdurasi 1.05 saat itu memperlihatkan sebuah lori simen berada di laluan paling kanan manakala di sebelahnya merupakan kereta jenis Proton Israwa yang dinaiki keluarga terbabit.
Lori tersebut kemudiannya dilihat menghimpit ke kiri jalan secara tiba-tiba sebelum melanggar dan mengheret kereta mangsa sejauh beberapa meter.
Seorang wanita, bersama pemandu lelaki kemudiannya dilihat keluar daripada kereta sambil memarahi pemandu lori tersebut.
Wanita itu kemudiannya dilihat menghampiri tempat duduk belakang sebelum mengangkat anaknya yang masih kecil.
Video tersebut mendapat perhatian netizen yang mendakwa kemungkinan kereta tersebut berada di kawasan titik buta lori terbabit.
Tiada maklumat lanjut diperolehi berhubung kejadian itu sama ada daripada pihak berkuasa atau mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram