Suami tetak isteri ketika tidur selepas dengar bisikan suara


  • Benua
  • Khamis, 17 Feb 2022

MANGSA yang cedera parah menerima rawatan rapi di Hospital Dr Ben Mboi Ruteng. — Agensi

SEORANG lelaki tergamak menetak isterinya dengan parang ketika mangsa sedang tidur dalam kejadian di Kenjoruk, Desa Wongka, Daerah Manggarai, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, suspek dikatakan secara tiba-tiba mengambil parang di dalam bilik tidur mereka dan menghayunkan senjata itu ke arah isterinya yang sedang tidur.

Akibat tetakan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Dr Ben Mboi Ruteng.

Ketua Polis Daerah Manggarai, Ipda I Made Budiarsa berkata, siasatan awal mendapati, amukan suspek itu dipercayai didorong oleh halusinasi yang dialaminya.

"Apabila disoal siasat oleh pegawai polis, suspek kadang-kadang berhalusinasi dan memberitahu ada bisikan suara-suara yang mengatakan isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain," katanya seperti dipetik portal Kompas.com.

Budiarsa berkata, hayunan parang itu mengenai bahu kiri, belakang kepala, paha kanan dan tangan kiri mangsa.

Disebabkan kejadian itu, mangsa menjerit meminta tolong sebelum dua orang jirannya datang ke lokasi untuk campur tangan.

"Mereka berjaya merampas parang yang dipegang suspek.

"Selepas kejadian, mangsa terus dibawa ke Pusat Kesihatan Dintor untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Dr Ben Mboi Ruteng.

"Sementara itu, suspek dan barang bukti dibawa ke Polis Satarma untuk tujuan siasatan lanjut," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram