Kecewa kekasih ada pengganti, lelaki terbakar di Kangar pernah cuba bunuh diri tiga kali


  • 112
  • Khamis, 17 Feb 2022

TANGKAP layar rakaman video tular seorang lelaki membakar diri dalam kereta di Jalan Kampung Syed Omar, di Kangar malam Rabu.

SEORANG lelaki melecur 96 peratus pada badannya selepas membakar diri dalam kereta di Jalan Kampung Syed Omar, di Kangar, Perlis pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, polis menerima panggilan pada 8.49 malam daripada pekerja kilang papan berusia 38 tahun yang memaklumkan terdapat kereta terbakar serta seorang lelaki di dalam kenderaan berkenaan.

"Seorang orang awam kemudian memberhentikan kereta di belakang kereta yang sedang terbakar dan ternampak seorang lelaki dalam keadaan terbakar pada badan berjalan ke arah keretanya.

"Saksi kemudian keluar dari kereta dan menenangkan lelaki serta memadamkan kebakaran pada badan mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

"Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya memadamkan kebakaran pada kereta mangsa dan mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

RAKAMAN video tular seorang lelaki terbakar membakar diri dalam kereta di Jalan Kampung Syed Omar, di Kangar malam Rabu.

Katanya, siasatan polis mendapati mangsa berusia 28 tahun dan tinggal di Kangar.

"Menurut bapa mangsa, mangsa adalah seorang pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri HTF," katanya.

Beliau berkata, mangsa pernah cuba membunuh diri pada Januari dan Selasa lalu sebelum diselamatkan keluarga.

"Punca mangsa cuba membunuh diri dipercayai kecewa dengan tindakan bekas teman wanitanya yang sudah mempunyai kekasih baharu," katanya.

Wari berkata, dalam kejadian pada Rabu, bapa mangsa turut memaklumkan polis bahawa anaknya meminum petrol pada 8.45 malam sebelum keluar rumah menaiki keretanya.

Beliau berkata, bapa mangsa yang berasa curiga membuat laporan di Balai Polis Kangar kerana percaya mangsa cuba membunuh diri sekali lagi.

"Apabila sampai di balai polis, pihak polis memaklumkan menjumpai sebuah kereta dalam keadaan terbakar di atas jambatan Kampung Syed Omar, Kangar.

"Bapa mangsa kemudian pergi ke tempat kejadian dan mengesahkan kereta yang terbakar adalah milik mangsa," katanya.

Mangsa masih dirawat di HTF dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas melecur 96 peratus pada badannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram