Tauke kedai emas disamun lima lelaki berparang ketika isi minyak di PD


  • 112
  • Khamis, 17 Feb 2022

KERETA dipandu suspek yang hilang kawalan di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Rabu. — Ihsan PDRM

SEORANG pemilik kedai emas disamun lima lelaki bersenjatakan parang ketika berhenti untuk mengisi minyak kereta di sebuah stesen minyak di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed, dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, lelaki berusia 50 tahun berkenaan yang menaiki Totoya Camry diserang lima lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Mitsubishi ASX dan Honda CRV.

"Kereta mangsa dihalang dari arah hadapan dan belakang. Suspek kemudiannya terus mengambil tiga beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

"Mangsa bertindak mengejar kenderaan suspek dan menghimpit Honda CRV dinaiki dua suspek hingga menyebabkan Honda CRV tersebut hilang kawalan lalu terbalik di bahu jalan di Lukut," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, mangsa yang cedera ringan di tangan akibat diacu parang oleh suspek kemudian berpatah balik ke arah Honda CRV itu namun kedua-dua suspek yang dipercayai turut cedera itu sempat melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Myvi disyaki dipandu rakan subahat mereka.

"Tiga lagi lelaki yang berada dalam kereta Mitsubishi ASX pula telah berjaya melarikan diri terlebih dahulu,” katanya.

Aidi Sham berkata, hasil siasatan ke atas Honda CRV itu menemukan dua beg barangan kemas yang dilarikan selain dua parang dan satu 'walkie-talkie' yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun mangsa.

"Siasatan turut mendapati Honda CRV itu merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dan disamun pada 25 November lalu di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

"Polis kini giat mengesan kesemua suspek itu dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor, Fatiha Nur Hamidus di talian 013-621 7365 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson 06-6462999 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," menurutnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram