PEMANDU kereta Proton Persona yang tular gara-gara menayangkan gari ketika mahu menukar laluan semasa melalui Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu (12 Februari), didapati seorang anggota polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.
Maklumat itu diperoleh berdasarkan siasatan pihak polis selepas pengadu, seorang pengurus bank, membuat laporan terhadap insiden berkenaan sehari selepas kejadian iaitu pada Ahad (13 Februari).
Berdasarkan laporan polis itu yang dilihat oleh Majoriti pada Rabu, pengadu membuat laporan kerana dikatakan berasa takut dengan tindakan anggota terbabit menayangkan gari semasa memintas keretanya.
VIDEO tular menunjukkan seorang pemandu mengeluarkan gari ketika menukar laluan. — Facebook
"Pada 12 Februari 2022, kira-kira jam 1.04 tengah hari, pengadu dalam perjalanan menuju ke Bukit Bintang, dengan melalui Jalan Tun Razak berhampiran Bangunan Tun Razak Exchange.
"Apabila berada di jalan tersebut. secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Persona (V**5**) yang berada di susur kiri jalan cuba masuk ke laluan pengadu tanpa memberi apa-apa lampu isyarat.
"Disebabkan tidak dapat memasuki laluan tersebut, pemandu kereta itu telah mengejar dan memotong kereta pengadu sambil menunjukkan gari di tangan kanannya.
"Pengadu merasa takut dengan tindakan pemandu kereta tersebut telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," demikian laporan polis tersebut.
Laporan sama menyebut, semakan terhadap kereta Proton Persona (V**5**) mendapati pemandu kereta tersebut merupakan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di IPD Wangsa Maju.
"Percakapan anggota polis yang terlibat telah dirakam. Siasatan selari dilakukan oleh Bahagian Integriti Dan Pematuhan Standard IPD Wangsa Maju," tulis laporan terbabit.
Difahamkan, polis membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) (siasatan dalaman) terhadap anggota berusia 42 tahun itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram