POLIS menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dengan merakam video sepasang gari untuk menakutkan seorang peniaga di Jalan Bertan 2 di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra’ais berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh itu ditahan kira-kira 10 pagi selepas mangsa membuat laporan polis pada Selasa.
“Siasatan mendapati suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai merakam video tersebut dengan niat untuk menakutkan lelaki itu dan meminta mangsa agar menghormati dia ekoran masalah dihadapi oleh mereka sebelum ini berkaitan isu rumah sewa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, polis merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman, bersama sepasang gari dan anak kunci daripada suspek yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran, katanya.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyamar sebagai penjawat awam kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram