MASALAH seperti kereta dicalarkan, pergaduhan sesama jiran dan bunyi hon saban pagi hanya kerana isu letak kenderaan umpama sudah sarapan harian buat penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur, seperti yang dilaporkan Majoriti pada Isnin.
Permasalahan yang sudah berlarutan sekian lama itu seakan tidak bertemu dengan penyudahnya sehingga kini.
Dekan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam, Prof Dr Jamalunlaili Abdullah bagaimanapun optimis di sebalik masalah tersebut, ada jalan penyelesaian yang boleh diambil oleh kerajaan khususnya.
"Cara paling efektif bagi mengatasi masalah tempat letak kereta yang terhad adalah penyediaan perumahan mampu milik berdekatan dengan stesen transit seperti stesen LRT dan MRT atau dikenali sebagai Pembangunan Beorientasikan Transit (TOD).
"Langkah itu bagi memastikan penduduk tidak perlu membeli kenderaan persendirian dan menggunakan sistem transit untuk pergerakan ke mana-mana sahaja," katanya kepada Majoriti.
DEKAN Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam, Prof Dr Jamalunlaili Abdullah.
Menurut Jamalunlaili, buat masa kini banyak TOD yang digunakan untuk pembangunan komersial serta serviced apartment dan sebenarnya perlu diperluaskan kepada perumahan mampu milik bagi memudahkan golongan B40 khususnya menggunakan perkhidmatan transit tersebut.
Jelasnya lagi, kaedah sama juga digunakan di negara maju seperti Australia dan Singapura untuk mengekang masalah tempat letak kenderaan.
"Contoh penyelesaian di luar negara adalah pembangunan yang tidak "car-centric" seperti di Malaysia yang mana kemudahan pengangkutan awam yang efisyen, murah dan berdekatan dengan kawasan perumahan akan mengurangkan keperluan untuk memiliki kenderaan persendirian. Ini sekali gus mengurangkan keperluan tempat letak kereta yang banyak," katannya.
Namun menurut Jamalunlaili, penyediaan parking minima seperti satu lot tempat letak kereta untuk satu unit rumah perlu ada, contohnya pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain sememangnya mempunyai standard minima sebegini.
"Pemaju dan PBT perlu mematuhi keperluan mengikut piawaian perancangan terutamanya Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Tempat Letak Kereta (2018) yang disediakan oleh PlanMalaysia.
"Pihak DBKL juga menyediakan Garis Panduan Perancangan bagi tempat letak kereta pada 2021 yang meliputi perumahan kos rendah juga," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram