Lagu Bad serlah sisi matang Dolla


  • Hiburan
  • Selasa, 15 Feb 2022

LAGU Bad dendangan Dolla mempertaruhkan tema pemerkasaan wanita. — The Star

KUMPULAN penyanyi wanita, Dolla terus mengorak langkah dalam industri muzik tempatan dengan pengenalan lagu terbaharu mereka yang berjudul Bad.

Lagu ciptaan pemuzik dari Sweden, Ludwig Lindell serta Karl-Oskar “Cage” itu turut ditulis dalam Bahasa Malaysia serta Inggeris oleh Lindell, Oskar, Gummesson, dan bintang hip hop tempatan, Yonnyboii.

Buah tangan baharu Dolla itu juga berjaya meraih 100,000 tontonan di YouTube dan berjaya menduduki tangga pertama dalam ‘trending’ di YouTube selepas 24 jam tayangan perdananya dimuat naik.

Menurut salah seorang ahli kumpulan Dolla, Syasya, lagu Bad turut mempertaruhkan tema pemerkasaan wanita.

"Ada yang mungkin akan menganggapnya sebagai lagu patah hati selepas tidak dilayan dengan baik oleh pasangan masing-masing dan ada juga yang mungkin menujukan lagu ini pada pasangan atau teman yang tidak pernah memberikan sokongan positif malah meragui diri masing-masing.

"Terdapat bait lirik lagu ini yang berbunyi 'You never met a woman just like me, you’ll see, kau takkan pernah agak', yang boleh diinterpretasikan dengan pelbagai cara,” katanya.

bad dolla

DOLLA berjaya meraih 100,000 tontonan di YouTube selepas 24 jam tayangan perdana Bad dimuat naik.

Tambahnya lagi, lagu Bad berkisar seseorang yang dikecewakan berkali-kali dan akhirnya tidak mahu lagi menerima kepahitan itu hingga memilih untuk menyerlahkan sisi gelap mereka yang berbeza.

Kata Syasya lagi, merupakan titik perubahan buat Dolla yang menampilkan sisi lebih matang dalam karya terbaharu mereka.

"Sebelum ini kami menampilkan sisi lembut Dolla, namun kali ini Bad membawakan sisi berbeza dan semestinya sesuatu yang baharu buat kumpulan kami.

"Bad juga menampilkan sebuah video muzik yang hebat dan ramai yang menyukainya," ujarnya.

Katanya lagi, video muzik berkenaan memakan masa selama dua hari dan ia akan dipenuhi dengan seni tari hebat dan tangkapan visual yang menarik.

"Video ini benar-benar menunjukkan tenaga positif yang dihasilkan sepanjang penggambaran.

"Selain pengorbanan waktu yang diperlukan untuk rakaman video muzik, Bad juga ada cabaran lain buat Dolla," jelasnya.

Lagu Bad sudah tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Video muzik rasminya pula boleh ditonton di saluran YouTube, Vevo Dolla. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Dolla, Bad, single, baharu, matang, muzik, syasya