Tiga ahli gabungan PAFA nafi sokong Yadzan


  • Podium
  • Isnin, 14 Feb 2022

TIGA Persatuan Bola Sepak Daerah di Perak menafikan menyokong Yadzan (gambar) sebagai Presiden baharu PAFA. — Bernama

AHLI gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menafikan sekeras-kerasnya dan menolak kenyataan media Datuk Muhammad Yadzan Mohammad pada Ahad yang menyatakan bahawa ketiga-tiga Persatuan Bolasepak Daerah di Perak menyokong kepimpinan beliau selaku Presiden baharu PAFA.

Wakil Persatuan Bola Sepak Daerah itu merangkumi Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (Persatuan Bola Sepak Daerah Hilir Perak), Datuk Khairudin Haji Tarmizi (Persatuan Bola Sepak Daerah Bagan Datuk) dan Muhammad Uzir Mohd Tahir (Persatuan Bola Sepak Daerah Pengkalan Hulu).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, ketiga-tiga presiden persatuan menyatakan, mereka itu tidak menghantar sebarang perwakilan untuk menghadiri Kongres PAFA pada Ahad yang dianjurkan Muhammad Yadzan.

"Pengesahan kehadiran perwakilan untuk mewakili daerah hendaklah dibuat melalui Borang C yang perlu ditandatangani oleh Setiausaha atau Presiden Persatuan Bolasepak Daerah yang berkenaan.

"Malah mengikut Perlembagaan PAFA menurut Artikel 34 Para 2.5 secara jelas menyatakan pencalonan bagi jawatan Presiden perlu mendapat minimum lapan (8) pencalonan dan minimum enam (6) pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden.

"Setiap ahli gabungan hanya mempunyai hak untuk satu (1) pencalonan bagi setiap jawatan yang dipertandingkan yang perlu dibuat menggunakan Borang D," katanya.

Menjelaskan lagi isu berkenaan, gabungan itu berkata, pencalonan bagi kedua-dua jawatan berkenaan adalah tidak mencukupi kerana hanya empat daerah yang menyertai ‘Kongres’ terbabit iaitu PBD Batu Gajah, Kuala Kangsar, Tanjung Malim dan Majlis Sukan India Perak.

Tambahnya lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Yadzan juga boleh dianggap satu penipuan fakta yang dibuat demi menjaga kepentingan peribadi, kedudukan beliau dan rakan-rakannya di dalam PAFA.

Ketiga-tiga Persatuan Bola Sepak Daerah itu juga menggesa dan mengarahkan supaya Yadzan segera menunjukkan bukti sekiranya Borang C dan Borang D yang telah ditandatangani oleh Setiausaha atau Presiden ketiga-tiga Persatuan Bola Sepak Daerah terbabit adalah wujud.

Jika tidak dapat berbuat demikian, Persatuan Bola Sepak Daerah itu akan membuat laporan polis mengenai isu salah laku yang dilakukan.

"Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) sehingga ke hari ini juga masih belum mengeluarkan sebarang keputusan yang mengiktiraf mana-mana pihak untuk menerajui PAFA seperti mana kenyataan media bertarikh 24 Disember 2021 lalu.

"Tindakan yang dilakukan oleh Naib-Naib Presiden ini secara jelas membelakangi kenyataan PJS kerana pada dasarnya tiada mana-mana pihak yang diiktiraf untuk menerajui PAFA," jelasnya.

Dalam pada itu, isu-isu yang melanda Perak FC kebelakangan ini seperti larangan perpindahan (transfer ban) pemain tempatan dan antarabangsa, tunggakan gaji, masalah pendaftaran dan lain-lain adalah di antara sebab utama mengapa Naib-Naib Presiden PAFA dinasihatkan oleh barisan kepimpinan PAFA untuk mengadakan Kongres PAFA sejak awal 2021.

"Kongres PAFA perlu bagi membentuk barisan kepimpinan baharu yang lebih ampuh serta untuk memastikan segala permasalahan ini dapat dielak dan ditangani lebih awal melalui jalinan kerjasama di antara PAFA dan Perak FC.

"Keadaan ini diibaratkan seperti sebuah luka kecil yang lambat dirawat dan akhirnya menjadi penyakit yang lebih serius," katanya.

Ketiga-tiga Persatuan Bola Sepak Daerah itu turut memberi sokongan sepenuh hati terhadap kepimpinan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin selaku Presiden PAFA dan Datuk Sham Mat Sahat selaku Timbalan Presiden PAFA yang dipilih secara sah di dalam Kongres Luar Biasa PAFA anjuran Ahli-Ahli Gabungan PAFA yang telah diadakan pada 19 Disember 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram