Ibu muda didakwa bunuh bayi di Kemaman


REMAJA itu kini dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

SEORANG remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu pada Selasa atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya pada minggu lepas.

Remaja berusia 15 tahun itu didakwa dengan sengaja membunuh bayi itu di sebuah rumah di Seri Bandi, Terengganu antara pukul 7 hingga 9 pagi pada 8 Februari lepas.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala remaja terbabit diwakili peguam Nuraine Haziqah Shafii.

Dalam kejadian pada minggu lepas, polis menemukan mayat bayi dipercayai ditikam dengan objek tajam di bahagian dada sejurus dilahirkan di rumah yang didiami remaja berkenaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mahkamah Kemaman, remaja, bunuh, bayi, tikam