PENGGUNAAN kamera badan dalam kalangan anggota polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) jelas mendapat sokongan ramai pihak.
Tambahan pula, anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) juga dilaporkan akan menjadi petugas barisan depan pertama yang menggunakan kamera badan dalam tempoh terdekat.
Perkara itu disambut baik orang ramai yang rata-rata melihat ia sebagai satu penambah baik dalam mengukuhkan lagi integriti pihak berkuasa.
Bagaimanapun, mereka juga berharap kamera badan itu digunakan prosedur operasui standard (SOP) yang betul dan bukan sebagai hiasan pada baju uniform sahaja.
Berkongsi pandangan di ruangan komen akuan media sosial Facebook, Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), Zai Rah berharap agar kamera tersebut diselenggara dengan baik dan sentiasa berfungsi.
"Eloklah digunakan untuk memudahkan pemantauan, jangan pula nanti susah nak diselenggara, sila pastikan semuanya berfungsi dengan baik setiap hari," kongsinya.
Ahmadi Sainawi pula berkongsi pandangan dan bertanya adakah orang awam yang ditahan polis menegur jika anggota tidak pakai kamera badan semasa bertugas.
Katanya, polis perlu telus dan bertanggungjawab terhadap kamera badan yang diamanahkan kepada mereka.
"Boleh tak jika ditahan polis,orang awam boleh tegur jika polis tidak pakai kamera di badan?
"Jangan bagi alasan kamera rosak, bateri habis, harap telus pihak polis menjalankan tugas diberikan, kami rakyat Malaysia percaya dan beri sokongan kepada pihak polis," ujarnya.
Seorang pengguna laman sosial Facebook, Syamun Al Ghazi juga berpandangan sama dan berharap pelaksanaan pemantauan kamera badan tersebut dilakukan pihak ketiga bagi mengelakkan pertikaian.
"Syabas langkah menghindari salah laku displin dan rasuah.
"Tetapi kamera itu siapa yang akan melihat rakaman dan membuat pemantauan. Adakah si pemakai menjadi pengendali untuk pasang dan tutup?
"Jika benar-benar telus pengendali mestilah pihak ketiga seperti dari tatatertib atau Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), barulah tiada pertikaian dan tomahan akan timbul," cadangnya.
Dalam pelaksanaan penggunaan kamera badan, ketelusan merupakan aspek yang paling diharapkan oleh orang ramai berharap ia bukan sekadar 'indah khabar dari rupa'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram