POLIS sedang memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes tetak seorang mangsa menggunakan sebilah parang di sebuah restoran di Benut, Johor pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 3.20 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.
"Berdasarkan siasatan awal, saksi kejadian memaklumkan terdapat dua lelaki melarikan diri dengan menaiki Toyota Alparhd berwarna putih. Setelah semakan dibuat, nombor pendaftaran kenderaan tersebut palsu.
"Mangsa berusia 40 tahun telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Mangsa mengalami parah di bahagian tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohammad Shofee, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi Inspektor Muhammad Syamil A Fadzil di talian 013-7145506 bagi membantu mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram