Najib diperkenan masuk menghadap TMJ


  • Primer
  • Selasa, 15 Feb 2022

NAJIB (kanan) bersama Tunku Ismail dan isteri baginda, Che' Puan Khaleeda. — Facebook/Najib Razak

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperkenan menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama isteri baginda, Che' Puan Khaleeda Bustamam pada Isnin bagi membincangkan mengenai keperluan pembangunan secara menyeluruh di Johor dan Malaysia.

Najib menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa berkata, pertemuan itu turut menyentuh mengenai sistem kebajikan rakyat yang lebih efektif bagi membantu mengurangkan beban kehidupan rakyat.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Yang Amat Mulia (YAM), Che’ Puan Khaleeda Bustamam atas perkenan menerima patik mengadap semalam (Isnin).

“Menyentuh mengenai pembangunan secara menyeluruh yang amat diperlukan bagi Johor dan Malaysia.

“Juga mengenai sistem kebajikan rakyat yang lebih efektif bagi membantu mengurangkan beban kehidupan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Pekan itu berkata, Johor juga mempunyai potensi besar malah menjadi pemangkin dan ‘gateway’ kepada kemajuan ekonomi negara.

Menurutnya, pelaburan, pekerjaan dan pembangunan wajar menjadi tiga fokus utama.

“Semoga ALLAH SWT melimpahkan kurnia, rahmat dan kesejahteraan buat Johor dan Malaysia, serta terus memberkati institusi diraja,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

primer, tmj, najib razak, johor, kebajikan rakyat